Monday, December 15, 2008

Artikel 'Cedok' Tapi Teramat La....Menarik

Baca la artikel-artikel kat bawah ni .....sesuai dijadikan panduan...( artikel ni aku cedok dr mana pun aku dah tak ingat.....)

Bahagia jika sentiasa intim

Sentiasa tunjuk kemesraan faedah terbesar kepada suami isteri: KajianBERN: Pasangan suami isteri yang sering berpelukan, berkucupan dan sentiasa mengekalkan kemesraan, mempunyai paras tekanan yang rendah dalam badan, menurut satu kajian terbaru. Malah, kajian penyelidik Universiti Zurich di Switzerland, mendapati keadaan itu terbukti amat ketara di kalangan pasangan yang berkahwin berbanding mereka yang tidak mempunyai ikatan rasmi berkenaan.

Kajian selama seminggu itu membabitkan 51 pasangan warga Jerman, majoritinya baru mendirikan rumah tangga. Hasil kajian yang disiarkan dalam edisi terbaru Psychosomatic Medicine bukanlah yang pertama merujuk manfaat kemesraan. Satu kajian sama oleh Fakulti Perubatan Universiti Northwestern Feinberg, mendapati pasangan yang sering berkucupan dan tidak hanya ketika berasmara, terbukti lebih kurang tertekan.
Dalam kajian terbaru, penyelidik meneliti paras cartisol dalam air liur mereka. Cartisol merujuk kepada hormon dalam badan yang turut berperanan dalam perubahan akibat tekanan. Ia dihasilkan kelenjar tertentu dan dirujuk sebagai ‘hormon ketegangan’ atau tekanan. Ini disebabkan kehadiran cartisol tinggi apabila tubuh memberi reaksi balas terhadap sebarang tekanan. Peningkatan kecil paras cartisol terbukti memberi kesan positif kepada tubuh, khususnya dalam penghasilan metabolisma glukos dan tekanan darah lebih teratur. Paras tinggi cartisol lebih ketara pada sebelah pagi dan paling rendah pada malam.
“Kami dapati, pasangan yang lebih banyak melakukan hubungan intim secara fizikal sama ada berpegangan tangan, berjimak atau berkucupan serta berpelukan, mencatatkan paras cartisol yang rendah. “Malah, pasangan mempunyai banyak tekanan akibat kerja, dapat mencatatkan paras cartisol rendah dengan hanya mempraktikkan kemesraan itu,” kata ketua penyelidik, Beate Ditzen. - Agensi

___________________________________________________________________

Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci. "Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam.Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg. Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk Kanak-kanak itu mula merungutdan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan. Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa. "Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam.Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk."Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci.!

____________________________________________________________________

Persefahaman suami isteri capai kebahagiaan rumah tangga bahagia

PERKAHWINAN dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah, iaitu menyatukan dua makhluk berlainan jantina serta mempertautkan dua hati dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya daripada perkara berbahaya atau memudaratkannya. Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian secukupnya. Suami juga hendaklah membimbing isteri serta anak supaya selamat daripada api neraka. Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki memberi nafkah daripada harta mereka.” - (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam juga menggariskan tanggungjawab suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula bersedia untuk mentaati perintah suami. Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul. Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepemimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.
Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam menyarankan dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang salihah (beriman) supaya mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz. Setiap wanita Islam hendaklah menyedari haknya yang digariskan syarak supaya tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan suami tidak bertanggungjawab. Seorang isteri salihah adalah yang mencakupi erti kata wanita berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.
Apa juga keadaan melanda, suami atau isteri tidak sepatutnya mendedahkan masalah rumah tangga hingga menjadi bahan cerita sebaliknya berusaha menyelesaikan masalah dengan cara baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajat padanya kemudian ia menceritakan rahsia itu.” - (Hadis riwayat Ahmad) Setiap yang bergelar isteri atau suami pasti mempunyai kehidupan peribadi yang dikongsi bersama. Sebahagiannya adalah rahsia rumah tangga yang harus dijaga. Jika rahsia itu disebarkan sudah tentu salah seorang akan terdedah kepada aib, pandangan serong, kata nista, umpatan dan gangguan. Dengan kata lain, rahsia rumah tangga ialah sesuatu yang hanya boleh dikongsi bersama antara suami isteri atau dengan anak-anak, kerana membabitkan soal maruah, nasib masa depan dan keselamatan keluarga. Ini dibayangkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Tiadalah yang lebih memberi manfaat kepada seseorang yang beriman selepas ia bertakwa kepada Allah, yang lebih baik daripada memiliki seorang isteri salihah. Jika disuruh nescaya ditaatinya dan apabila dipandang menyukakan hati dan jika ia tiada bersama ia akan memelihara nama baiknya sama ada pada dirinya atau harta suaminya.” - (Hadis riwayat an-Nasa'i, Ahmad dan Abu Daud)

No comments: